Hrmm.. Penat!!!.. Sekembali dari menguruskan mesyuarat dan bengkel di Kuantan selama 4 hari 3 malam terus masuk opis keesokkannya.. masih tak berkesempatan untuk mengadap PC dan menulis N3 sepanjang minggu ni... menyiapkan minit dan laporan.. harap minggu depan dah boleh 'ANGKAT MUKA' sikit la..
Sebelum berhenti dan keluar amik angin ke SOGO (untuk release stress ha3x).. Nak kongsikan bersama Surat Ucapan Terima Kasih KSN kepada yang dipanjangkan kepada semua Penjawat Awam.. 'FRESH dari peti e-mel saya..'
Kepada semua penjawat awam sudi-sudikanlah.. ambil inti pati yang boleh kita tambah baik dalam kerja2 kita..
Salam kepada semua,
Dipanjangkan ucapan terima kasih KSN untuk makluman
Saudara-saudari sekalian,
Hari Jumaat, 22 Jun 2012 merupakan
hari terakhir saya di pejabat setelah lebih 38 tahun di dalam perkhidmatan
awam. Walaupun saya lebih suka untuk bersua muka dengan Saudara-saudari
secara individu bagi mengucapkan selamat tinggal, namun hakikatnya saya tidak
mungkin dapat berbuat demikian. Sehubungan itu, nota ini adalah tanda penghargaan
dan terima kasih, ikhlas daripada saya atas
segala sumbangan, sokongan serta kerjasama yang telah diberikan dalam usaha
berterusan bersama membangunkan
sebuah perkhidmatan awam negara kita yang dinamik, progresif, cekap dan relevan.
2. Kerjaya di dalam perkhidmatan awam
adalah suatu yang mulia – “it is a calling” – suatu “ibadah” – di mana
kita memenuhi keperluan negara mendahului diri sendiri; dan peranan yang
dipertanggungjawabkan ke atas kita adalah merupakan amanah rakyat dan negara.
3. Selaku Ketua Setiausaha Negara,
menerajui lebih 1.4 juta penjawat awam merupakan suatu pengalaman dan
tanggungjawab yang berat, diulit pelbagai dugaan dan cabaran. Saya telah cuba sedaya upaya untuk
menggalasnya, dengan keinsafan
bahawa tidak mungkin semua matlamat dapat dicapai. Saya
merakamkan terima kasih atas
sokongan, kerjasama dan bantuan Saudara-saudari dalam memudahkan saya melunaskan
tanggungjawab ini. Saya melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas
kesempatan ini, serta merakamkan penghargaan
dan terima kasih kepada pucuk pimpinan negara yang telah menaruh kepercayaan
kepada saya untuk menerajui perkhidmatan awam. Sepanjang tempoh perkhidmatan, saya
telah berusaha sebaik mungkin untuk memperkenalkan pelbagai pembaharuan dan
perubahan bagi mengukuhkan prestasi dan budaya penyampaian perkhidmatan awam
yang cemerlang.
4. Bagi sesetengah pihak, saya bukan
seorang yang mudah untuk bekerja, malah tindakan-tindakan saya kadang kala
dianggap terlalu tegas dan kasar. Namun niat serta “nawaitu” saya
sebenarnya adalah semata-mata untuk melakukan yang betul dan yang terbaik,
tidak semestinya yang “correct”, demi memartabatkan perkhidmatan awam ke tahap
yang membanggakan. Saya berusaha untuk mempastikan setiap tindakan dan
keputusan adalah berlandaskan
prinsip-prinsip berikut:
I. Integriti – tiada kompromi berhubung soal integriti di mana kita melaksanakan
perkara-perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat;
II. Kesegeraan dan “Sense of Urgency” – menetapkan sasaran yang tinggi,
tempoh masa siap yang jelas serta pegawai yang dipertanggungjawabkan;
III.
Mengutamakan pelanggan – memudahkan dan tidak menyusahkan, dan sentiasa meletakkan diri kita
dalam kedudukan pelanggan:
IV. Kolaborasi dan kerjasama – “Satu Perkhidmatan, Satu Penyampaian”, “No Wrong Door”.
Elakkan bekerja secara silo,
sebaliknya optimumkan perkongsian sumber, kemudahan dan maklumat ke arah
peningkatan nilai;
V. Inovasi dan kreativiti – mencabar status quo; keberanian untuk bersuara serta
melakukan perubahan kerana
perkara yang dilaksanakan pada hari ini mungkin tidak lagi relevan pada masa
hadapan. Kita perlu sentiasa berfikir ke hadapan agar berada di hadapan
keluk perubahan;
VI.
Konsultasi dan Penglibatan – era “Government knows best” telah berlalu. Kita perlu sentiasa melibatkan pelbagai
pihak dalam proses membuat keputusan serta penggubalan dasar dan program awam.
Penglibatan rakyat amnya, badan bukan kerajaan dan sektor swasta dalam proses
tersebut bertujuan untuk menambah baik sesuatu dasar supaya memberikan impak
yang lebih positif kepada lanskap sosioekonomi negara;
VII. Aduan sebagai hadiah – aduan merupakan maklum balas penting bagi kita melaksanakan
penambahbaikan dan peningkatan;
VIII. Menimba ilmu, meningkatkan kemahiran – semakin tinggi kita berada di dalam perkhidmatan /organisasi, semakin
lagi perlunya kita mendengar serta belajar, termasuk dari orang bawahan dan di
sekeliling kita.
Saya berharap Saudara-saudari dapat mendalami nilai-nilai di atas dan
mengaplikasikannya dalam setiap urusan dan tindakan.
5. Di kesempatan ini, saya ingin memohon
maaf sekiranya dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan, telah terkeluar
pilihan perkataan serta bahasa yang mungkin kurang enak didengar atau
menyakitkan hati; serta tindakan yang mungkin dianggap kurang
menyenangkan. Sesungguhnya niat saya adalah semata-mata untuk membina
perkhidmatan awam yang resilient,
dinamik dan pastinya terus relevan dalam mendepani cabaran masa hadapan yang
lebih kompetitif dan getir. Satu
Perkhidmatan yang tidak hanya menanda aras negara lain, tetapi ditanda aras
oleh lain-lain negara, termasuk negara maju!
Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua anggota perkhidmatan awam
dalam membawa Negara kita yang tercinta ke era yang lebih gemilang. Saya
sentiasa mendoakan agar Perkhidmatan Awam Malaysia terus mencapai kejayaan yang
lebih cemerlang di bawah teraju Ketua Setiausaha Negara yang baru.
Wabillahittaufik wal hidayah,Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
(SIDEK HASSAN)
Okay..chow dulu...
Okay..chow dulu...