Pengikut

SYAIR

Buang pemisah kongsi nikmat

Jumaat, 18 Januari 2013

Masa kita dan Masa Ibubapa kita

;)
Petikan dari Blog Biras WN

WN meminati penulisan beliau.. mungkin kerana beliau seorang Editor Bahasa Melayu.. nukilannya sangat cantik.. barisan ayatnya tersusun... tidak seperti blogger seperti WN... tatabahasa macam hampeh...

Berkongsi rasa hati beliau tentang kita dengan ibubapa..


MASA ISTIMEWA KITA MASA ISTIMEWA IBU BAPA KITA

APABILA kita diberi masa, jagailah masa itu dengan selayaknya dan dengan sebaik-baiknya kerana akan tiba suatu masa nanti kita tidak mempunyai masa dan kesempatan tersebut lagi. Pada masa itu kelak, kita langsung tidak berpeluang untuk berpatah balik kerana masa itu telah menjadi sejarah; masa itu telah menjadi kenang-kenangan.
                                                               
Ibu bapa sebenarnya sebahagian daripada masa kita. Mereka telah lama mendepani sepak terajang kehidupan sebelum kita ada. Dengan sifat Rahman dan Rahim Allah, Dia mengurniai kita kepada ibu dan bapa kita – sebagai zat yang menyukakan dan yang lebih besar daripada itu adalah sebagai amanah untuk dilaksanakan dengan sepatutnya.

Masa itu, kita tidak tahu apa-apa – kita akan menangis kehausan atau kelaparan jika ibu kita tidak menyuapkan susu atau makanan kepada kita. Kita akan terbiar kedinginan jika ibu atau sekali-sekala bapa kita tidak membedung kita. Kita akan terus bergelumang kencing dan tahi jika ibu atau bapa kita tidak menyucikan najis-najis itu daripada menggelumangi kita.

Masa itu, walaupun kita ini zat yang menyukakan mereka, sebenarnya kita sebahagian daripada beban yang ditanggung oleh ibu bapa kita. Mental mereka perlu diangkat ke tahap maksimum demi kita. Mereka tidak berupaya untuk bangun solat tahajud, tetapi berupaya untuk melawan kantuk bagi menyusukan kita pada waktu-waktu dinihari.

Masa itu masa istimewa kita. Kitalah raja yang tidak boleh dihadap. Kehendak semula jadi dan kehendak hakiki kita sebagai bayi terpenuhi semuanya. Ibu bapa kita berasa sangat bersalah dan sangat berdosa apabila mereka tidak memenuhi kehendak semula jadi dan kehendak hakiki kita itu. Mereka bersedia untuk berkorban jiwa demi membesarkan dan “menghidupkan” kita.

Kita kemudiannya membesar dengan segala keistimewaan – berakal dan bijaksana, berkat makan minum yang diatur oleh ibu bapa kita semasa kita bayi dahulu. Kalau kita tidak cerdik dan menjadi insan yang berjaya dalam pelajaran, setidak-tidaknya kita masih dikurniai akal untuk membedakan yang baik dengan yang buruk, yang kotor dengan yang murni.

Bagaimanakah dengan masa istimewa ibu bapa kita? Bagaimanakah kita memanfaatkan masa yang ada sekarang, mengorbankan masa yang ada sekarang untuk melayan insan-insan istimewa itu? Masihkah kita berhelah dan beralasan untuk pulang menziarahi mereka? Masihkah kita menanti dan mencari-cari waktu lapang untuk menjengah mereka yang menanti kita penuh rindu?

Untuk kita, masa itu emas, tetapi kita lupa bahawa ibu bapa kita “lebih emas” daripada masa. Seperti yang dikatakan pada awal tadi, mereka itu sebahagian daripada masa kita. Kita harus memperuntukkan masa dalam kehidupan harian kita untuk ibu bapa kita – berkirim surat, berhubung melalui telefon, menziarahinya setiap minggu atau setiap bulan, dll.

Bapa kita harus kita sayangi dengan sepenuh hati, sepenuh jiwa, sepenuh raga kita kerana tiada mereka tiadalah kita. Tiada mereka, siapalah kita. Tanpa pengorbanan mereka, kita tidak akan menjadi siapa-siapa. Kita mungkin diserahkan kepada orang lain untuk menjadi anak angkat orang lain, tetapi itulah ketentuan Allah Yang Maha Mengetahui apa-apa yang lebih baik untuk kita.

Masa untuk kita hidup sangat singkat. Masa untuk kita membalas jasa ibu bapa kita lebih singkat lagi sedangkan ibu bapa kita melalui masa yang panjang untuk membesarkan kita. Masa istimewa untuk ibu bapa kita sepanjang masa. Baik kita terhadap mereka, baiklah balasan yang diterima mereka di alam abadi kelak. Apabila tiba giliran kita ke sana, kebaikan itu bermanfaat kepada kita.

PERINGATAN KEPADA ANAK-ANAK
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir penyusuannya), dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” [14]
[Surah Luqman]

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan (engkau) supaya engkau tidak menyembah melainkan Dia semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (dengan sebarang perkataan kasar) meskipun (dengan) perkataan ‘Ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi berkatalah kepada mereka (dengan) perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [23] Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): ‘Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil’. [24] Tuhan kamu lebih tahu akan apa-apa yang ada di dalam hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintah-Nya, maka sesungguhnya dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.” [25]
[al-Isra’, ayat 23-25]

“Pembalasan bagi setiap dosa akan ditangguhkan sampai hari kiamat kelak, kecuali (dosa) menderhakai ibu atau bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menyegerakan pembalasan kepada pelakunya dalam hidupnya (di dunia) sebelum dia meninggal dunia.”
[Riwayat Hakim]

“Seorang lelaki datang mengadu kepada Nabi Muhammad SAW katanya, ‘Sesungguhnya ayahku telah merampas hartaku’. Nabi berkata, ‘Dirimu dan hartamu adalah milik ayahmu, anak-anak kamu adalah hasil usaha kamu yang terbaik. Oleh itu, kamu berhak memakan harta mereka.”
[Riwayat Ibnu Majah]

 “Aku bertanya Nabi Muhammad SAW, ‘Apakah amal yang paling disukai oleh Allah?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Solat dalam waktunya’. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa lagi?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Kemudian berlaku ihsan kepada kedua-dua ibu bapa’. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa lagi?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Berjihad fi sabilillah’.
[Riwayat al-Bukhari]

“Keredhoan Allah terletak pada keredhoan ibu bapa, manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.”
[Riwayat al-Tirmidzi]

2 ulasan:

Ked berkata...

eh, kebetulan pulak WN..
semalam baru je tengok orang share kat fb pasal ibu bapa kita..
terus reflect kat diri sendiri bila memikirkan betapa banyaknya dosa saye pada mereka..
semoga saya menjadi anak yang solehah kepada mereka suatu hari nanti..

abu muaz berkata...

terima kasih WN,
menyentak perasaan,
kadang kala kita terlupa jasa mereka berdua,

Ya Hanana

Kena tahu juger la sesikit